Jumaat, 8 April 2011

Ada Apa Dengan Cinta



Baru-baru ini saya terserempak dengan junior  di Bandaraya Alor Setar. Bersamanya seorang perempuan. Mungkin adik. Mungkin juga teman istimewa. Sedang duduk-duduk di kaki lima.

Saya menyapa, "Haa..apa khabar?"
Dia menjawab, "Baik...sssiihaatt..", seakan tertunduk-tunduk dia. Sempat saya menjeling ke arah perempuan yang duduk sebelahnya. Juga tertunduk-tunduk. Membatu.

"Ngaji (belajar) mana la ni?", saya meneruskan perbualan. Sudah lama tak berjumpa, pasti banyak yang ingin di tanya. Dia semakin resah.

Sambil tersengih-sengih dia menjawab, "UM". Saya terdengar seperti 'UUM' lalu saya membalas, "Owh, UUM Sintok?". Terhangguk-hangguk dia, "Yayaya..."

Saya bertanya sekali lagi untuk kepastian, "Ka..UM?". Pun dia terhangguk-hangguk, "Haa,Yayaya..". Punggah. Perempuan di sebelahnya terus tertunduk. Mungkin sedang melalui satu proses 'muhasabah'  yang panjang.
 Bila la brader ni nak blah....
 Mungkin itu yang difikirkan perempuan itu. Ya, saya bertanya lagi. Makin suka saya melihat reaksinya yang seperti cacing kepanasan.  Kalau tak buat salah, kenapa perlu resah? Kasihan dia ‘dibuli’ oleh saya.

"Ambik course apa?", saya bertanya lagi. “Emm…Akaunn..”. Memang dia murah betul dengan senyuman pada hari itu. Senyum kambing.

Ada Apa Dengan Cinta?
Sengaja saya nukilkan kisah di atas sebagai 'penyegar'. Anda mungkin pernah melihat situasi ini ataupun mengalami situasi sebegini.
"Tiada beriman seorang kamu hingga ia mencintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya." 
Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ini adalah antara hadis-hadis pendek tetapi banyak memberikan kesan kepada kehidupan manusia seluruhnya sekiranya ia dihayati sepenuhnya.

Cinta itu adalah kasih-sayang. Cinta itu merupakan elemen motivasi yang paling kuat dalam hidup manusia. Orang yang hidup tanpa wujudnya perasaan cinta di dalam dirinya kehidupannya adalah kosong dan sia-sia.


Kalau kita ini pembaca komik-komik kungfu Cina, kita akan dapati seorang hero itu akan melakukan apa sahaja demi menyelamatkan kekasihnya dan orang-orang yang dicintainya. Dengan semangat cinta itu juga dia berjaya mencapai kedudukan tertinggi dalam ilmu persilatan yang dipelajarinya.

Kerana cinta jugalah, kita mendengar kata-kata, "Lautan api sanggup ku renangi demi untuk membuktikan cintaku padamu." atau kata-kata, "Ambillah kapak dan belahlah dadaku ini." Orang yang tidak bercinta tidak akan sanggup mengeluarkan kata-kata yang membunuh diri seperti ini (walaupun hakikatnya, si lelaki tahu; mana ada laut api dan tak logik si gadis nak belah dada si lelaki. Sekurang-kurangnya, masuk penjara gadis tu).

Seseorang itu adalah menipu sekiranya mengatakan dirinya tidak memerlukan cinta. Kerana cinta itu satu perasaan luhur anugerah Allah kepada semua hamba-hambanya. Orang yang bercinta merasakan hidupnya berwarna-warni dan sentiasa merasakan keseronokan kerana dilamun perasaan cinta.
Maka alangkah ruginya sekiranya dalam diri kita ini tiada langsung apa yang dinamakan perasaan cinta dan kasih sayang.

Cintanya Nabi saw kepada umatnya tidak pernah padam. Hatta sehingga saat sakaratulmaut pun, Nabi saw masih mengingati umatnya. Nabi begitu kasihkan kita sebagai umatnya sehingga umat akhir zaman ini dimohon diberikan pelbagai nikmat dan rahmat. 

Cinta para sahabat kepada Rasulullah tiada taranya. Kisah perang Uhud membuktikan tujuh sahabat Nabi termasuh seorang wanita, sanggup mengorbankan nyawanya dengan membentuk perisai bagi melindungi nyawa baginda.

Cinta Saidina Abu Bakar kepada baginda pula, sanggup membiarkan ular mematuk tangannya ketika sama-sama bersembunyi di gua Thur. Cinta Saidina Umar terhadap baginda, hinggakan beliau tidak dapat menerima hakikat pada peringkat awalnya ketika wafatnya Nabi saw. 

Cintanya Saidina Uthman kepada Nabi sehingga beliau sanggup membelanjakan keseluruhan kekayaannya demi perjuangan Islam. Cintanya Saidina Ali, beliau sanggup menggantikan tempat tidur Nabi saw dalam peristiwa hijrah walaupun itu adalah pilihan untuk mati.
Adakah cinta kita sudah menyamai cinta mereka? Berapa ramai di antara kita yang medermakan barang-barang yang paling disukai untuk diberikan kepada pelarian-pelarian perang yang seagama dengan kita? Adakah baju dan pakaian yang kita dermakan itu pakaian yang buruk dan lusuh ataupun masih cantik dan masih disukai oleh kita sendiri?
Cinta itu suci. Tetapi ia menjadi kotor bila kita sempitkan cinta itu hanya untuk cinta lelaki dan perempuan. Cinta lelaki dan perempuan itu suci sekiranya ianya telah disambung dengan ikatan pernikahan.

Sedangkan cinta itu luas. Cinta kita kepada Allah Yang Maha Pencipta, cinta kepada Rasul, cinta kita kepada ibu bapa dan cinta kita kepada saudara-saudara Islam yang lainnya.

Umat Islam hari ini telah kehilangan cinta dan kuasa cinta. Umat Islam hari ini hanya mengenal cinta yang dicorakkan oleh musuh-musuh Islam iaitu cinta asyik masyuk, iaitu cinta Valentine. Cinta yang dibaluti oleh nafsu yang melesukan.
Maka didiklah diri kita ini untuk mencintai Islam sepenuh hati kerana hati yang cinta kepada Islam sahaja yang akan terus hidup dan bersemangat untuk memastikan ketuanan Islam akan ditegakkan kembali.

*Penulis ialah Mohamad Razif bin Mohamad Fuad, Exco Informasi dan Publisiti, Persatuan Mahasiswa Fakulti Kepimpinan & Pengurusan. Artikel-artikel tulisannya boleh didapati di http://raziffuad.blogspot.com

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Macys Printable Coupons